ceritanetsitus karya tulis, edisi 163 senin 080909 

sampul
esei
sajak
laporan
cerpen
novel
memoar
komentar
terbitan
edisi lalu
daftar buku
kirim tulisan

ikut mailing list

tentang ceritanet

cerpen Awan Mendung Awan Harapan
Elmi Zulkarnain

Gumpulan awan mendung pekat mula menitikkan titis-titis hujan. Setelah Suri menyeret langkahnya masuk ke kelas, dia terpaku di tempat duduknya dalam pasak rasa belahan jiwa yang kosong. Ingin sahaja dia merejamkan rasa benci untuk meneruskan hayatnya kepada dunia.

“Saya mahu awak-awak semua mengarang sebuah cerita yang bertajuk Ibu. Mudah bukan? Interpretasi cerita terpulang kepada diri awak. Jumlah perkataan antara 200 sehingga 300 patah perkataan,” jelas Cikgu Dewi yang lantang memberi arahan.

Sejurus kemudian, bilik darjah itu diselimuti kesenyapan dengan pelajar-pelajar yang sibuk menari-narikan pena, mencoret cerita di kertas. Di dalam kotak fikiran pelajar-pelajar kelas itu jelas terlukis kisah ibu yang tersayang, ibu yang berjasa, ibu mithali yang berkorban demi keluarga tercinta. Aduhai, sungguh indah dunia mereka!

Tiba-tiba Suri rasa terasing. Kegelisahan menghalang Suri dari menulis. Tiada mampu pena di tangannya melahirkan sebarang kekata di lembar kertas. Masih kosong. Bersih tiada bertinta. Matanya terus melilau memerhatikan gelagat teman-temannya.

Sesekali fikirannya akan teringat pada kejadian yang telah meragut segala ketenteraman hidupnya. Dirinya terkapar-kapar dihantui resah. Dia begitu hampa dengan nasib yang menimpa diri. Resah dan hampa inilah yang telah mula membakar dirinya.
***

Di sebuah lorong yang samar dengan limpahan cahaya tiang lampu,  seorang wanita separuh umur berdiri. Kaki kanannya dinaikkan ke belakang sehingga terlihat betisnya ibarat bunting padi dan kemudian direhatkan tumitnya di permukaan tembok. Wajahnya disolek tebal dengan pakaian menjolok mata. Dress merah menyala ketat bak sarung nangka menjadi pilihannya malam itu. Dia sedang menantikan seseorang di luar kelab malam sambil memerhatikan ‘anak-anaknya’ yang berada di dalam dan di luar kelab tersebut.

Seorang pemuda berjalan di hadapannya. Mummy  Sheila mengukirkan senyuman yang paling manis. Dia menghampirinya dan lelaki itu membalas senyuman Mummy  Sheila.

Hi Sayang ... Amacam bisnes? Ada bagus?” suara lembut seorang pemuda menegur Mummy  Sheila. Mummy  Sheila masih tersenyum manja tanpa berkata. “Apa kata malam ni, lepas kerja, you temankan I? Macam biasa, lumayan ganjarannya tau. Kita berdua pergi ke pub di seberang jalan tu? Lepas itu, anything goes ...” sambung lelaki itu.  Mereka berbalas kenyitan mata tanda setuju.

Sering kali, ibu Suri akan pulang dengan ditemani lelaki berbeza yang memaut pinggangnya. Ada antara mereka merupakan pelanggan tetap, ada juga pelanggan baharu. Suri sudah biasa dengan keadaan hidup seperti itu. Ibunya telah berjaya meyakinkannya bahawa kerjanya itu sahajalah yang mampu membawa kesenangan kehidupan buat mereka dua beranak.

“Kita minum lagi lah sayang. Tadi I dapat minum sikit jer. By the way, dress I cantik tak?”

Dua pasang kaki melangkah masuk. Mummy  Sheila dipapah ke bilik tidur utama. Lelaki itu hanya berterusan tertawa sinis.

Suri dibuai mimpi sementara ibunya ‘bekerja’ di kamar bersebelahan.*

Sejam berlalu pantas. Mummy  Sheila rebah di atas katil. Lelaki itu masih belum puas. Dengan hanya berseluar boxers, kakinya melangkah keluar dari bilik itu. Matanya mula berkeliaran. Dia melangkah lagi. Kali ini ditujukan ke arah bilik Suri. Pintu yang tidak dikunci dibuka perlahan. Dia menyelak selimut perawan yang masih nyenyak tidur. Mulut Suri ditekap. Suri cuba meronta. Saat itu matanya sayu menatap wajah Yan yang menjelma di benaknya.

Mata Suri mula mengerling. Dia mencari-cari Yan. Dia mencari-cari wajah ketenangan, wajah sang pencinta yang pernah tulus terhadapnya.  Dia amat merindukan saat-saat di mana Yan membelai Suri dengan penuh kasih sayang. Dia mendambakan pelukan mesra dan bisikan kata-kata lirih cinta Yan. Kehadiran Yan sahajalah yang mampu mengubah resah Suri menjadi ceria. Kehidupan Suri yang sudah ketandusan kasih ibu dan ayah semakin gersang. Dia perlukan kehadiran Yan dalam hidupnya untuk membawa awan harapan.
***

Cikgu Dewi  mengalihkan perhatiannya pada jam dinding di hadapan bilik darjah.

“Lonceng waktu rehat sudah pun dibunyikan. Saya harap awak semua dapat menghantar kerja awak sekarang. Letakkan hasil karangan awak di atas meja saya. Selain Suri, pelajar yang lain dibenarkan keluar untuk berehat.”

Suri merupakan pelajar yang terakhir untuk menghantar karangannya. Dia tidak mengendahkan apa yang dikatakan Cikgu Dewi.  Dia tergesa-gesa keluar dari bilik darjah itu. Hanya tiga potong ayat yang telah dipenakannya untuk disemak Cikgu Dewi:

“Tiada yang istimewa tentang ibuku. Hanya kisah-kisah luka yang mampu aku alirkan. Luka hatiku adalah akibat direjam dengan ketajaman kerikil kehidupannya.”

Kebanyakan pelajar kelas Suri sudahpun berada di kantin sekolah. Suri mengejar-ngejar Yan. Yan kelihatan mempercepatkan langkahnya. Memang disengajakan Yan untuk mengelakkan diri daripada Suri.

“Yan! Yan! Jangan kau berani lari dari aku Yan. Tunggu dahulu. Aku kata tunggu, pengecut!” teriak Suri.

Yan menoleh. Beberapa pasang mata lain juga memandang ke arah Suri dan kemudiannya Yan. Suri tidak mempedulikan mereka. Yan menggeleng-gelengkan kepalanya lantas berkata dengan nada lembut, “Pergilah Suri. Tolonglah, jangan kau ganggu aku.”

“Akumahukan penjelasan daripada engkau.”

Tangan Yan kuat ditarik Suri. Dia dibawa Suri ke satu sudut.

“Kalau kau nak persahabatan kita terus kekal, kau harus terima kenyataan ini. Keadaan sudah berubah. Kita tak boleh kembali macam dulu. Perbuatan kita berdosa Suri. Hampir-hampir kita melakukan noda terhadap diri kita sendiri. Aku insaf selama ini kita melakukan perkara yang salah. Satu lagi permintaan aku, tolong jangan ganggu aku buat sementara waktu. Dan satu lagi,  jangan panggil aku Yan. Nama aku Diana bukan lagi Yan.”

Merah. Wajah Suri semakin merah padam mendengar kata-kata Diana.

“Kalau begitu, baiklah tapi ... ”

Suri mula mendekatkan dirinya dengan tubuh Diana. Bibirnya hampir tersentuh dengan kuping telinga kiri Diana. Diana terhimpit di antara tembok konkrit dan tubuh insan yang seolah-olah dirasuk amarah dan kecemburuan.

“ ... engkau Yan, pasti akan menyesal.”

Bisikan kekata yang Suri lafazkan mencengkam perasaan Diana yang cuba menyembunyikan rasa takutnya. Diana tahu akan kemampuan Suri untuk bertindak agresif. Siapa yang tidak mengenali Suri si pengamuk. Diana juga sudah kenal akan sifat Suri yang suka menyimpan dendam.
***

Perih perpisahan menghiris Suri. Dia tidak boleh menerima hakikat bahawa Yan, sahabat dan kekasihnya tidak lagi mahu bersamanya. Dia tidak mampu menerima kenyataan bahawa Diana yang dahulunya berpakaian seperti lelaki, berambut pendek dan bersifat kejantanan kini berubah sikap, berubah sifat.

Mentari membenamkan dirinya. Sukma yang terguris membelah malam. Di sebalik sebuah tembok, seseorang sedang menunggu kepulangan Diana. Dia sudah berada di kolong itu sejak jam 6 petang lagi. Dia tahu kelibat Diana akan menjelma. Dia menunggu selama 2 jam sebelum Diana muncul. Diana tidak sedar bahawa ada seseorang yang memerhatikannya. Diana menaiki anak tangga menuju ke unitnya di tingkat tiga. Diana diekori dari belakang. Orang itu membawa sesuatu yang dibungkus kertas suratkhabar. Bahu Diana ditepuk.

“Hei Yan!” orang itu menutur kata. Suaranya bernada judas.

Diana tersentak. Beg sandangnya dilepaskan ke lantai.

“Ah .. ah .. Suriyanti. Hai. Kau mahu apa daripada aku?” tanya Diana terketar-ketar.

“Aku nak kasi kau sesuatu,” jawab Suri.

Suri mengeluarkan sejambak bunga kaca berwarna dari bungkusan tadi.

“Nah ambil balik bunga kau ni. Benci aku tengok hadiah kau ni. Kita pun tak ada apa-apa hubungan,” sambung Suri dengan nada kesat.

Dengan hati yang berat, Diana mengambil bunga-bunga kaca tadi lalu dimasukkan ke dalam beg sandangnya. Dia tidak mahu berkata apa-apa. Mulutnya terketap. Sedang dia mula beredar, Suri memanggilnya.

Sebilah pisau yang mempunyai mata pisau yang berkilauan sepanjang 10 sentimeter diperagakan di hadapan Diana. Diana terpacak. Semangatnya terjungkal. Mata memandang mata. Tiada sepatah kata menjadi bicara.

“Oit! Apa yang sedang berlaku tu?”

Mendengar suara yang asing itu, Suri dengan cepat menyarung pisaunya lalu disimpan ke dalam beg pinggangnya. Sebelum beredar Suri sempat berkata, “Pisau itu bukan untuk kau Diana. Ada orang lain yang pasti mati malam esok. Engkau Yan, tidak perlu mati. Belum masanya lagi.”
***

Suri terperuk di sudut kamar sunyi ditemani cahaya sebatang lilin. Hujan di luar rumah turun lebat selepas menitis renyai buat seketika. Gema petir yang menyambar juga tiada sehebat jeritan jiwa meronta untuk melepaskan derita. Hati Suri berterusan bersuara dengan syair-syair duka yang menjadi pemangkin gundah gulana dan gelora amarah. Sebilah pisau diletakkan bersebelahan paha kanannya. Dia sedang menanti saat untuk bertindak.

Terdengar erangan wanita di bilik sebelah diselang dengan desahan  seorang lelaki. Suri cam akan suara itu. Dia nekad. Suara itu akan dibisukan buat selamanya. Mereka pasti akan tertidur selepas puas melayani nafsu masing-masing. Suri menunggu sehingga tiada lagi suara yang didengar telinganya.  Kaki Suri mula menjinjit langkah. Pisau itu digenggam erat.

“Jantan ini memang seharusnya mati,” bisik hati kecilnya.

Tanpa disangka, nada dering telefon bimbit memecah kesunyian rumah itu. Lelaki itu tersentak dari lenanya. Suara lelaki yang sepatutnya mati tadi kedengaran menjawab panggilannya. Setelah talian itu diputuskan, lelaki itu kembali berpakaian. Di luar bilik itu, Suri mula berpatah balik ke biliknya. Jelas dari raut wajahnya, Suri kecewa. Rancangan kecundang di saat-saat akhir. Pisaunya dicampakkan ke atas katil. Rasa geram yang cuba dibendungnya mengalirkan air mata ke pipinya. Suri tidak berpuas hati. Dendamnya belum lagi terbalas. Dia akan mencuba sehingga berjaya.

Suri mencapai jurnal peribadinya. Diconteng-conteng beberapa halaman sebelum dia mula menggesek penanya untuk mencurahkan kekecewaannya, kebenciannya terhadap lelaki yang meragut kesuciannya dan tekadnya untuk menamatkan riwayat lelaki bernafsu binatang itu. Dia menulis sehingga dirinya terlelap lalu terbaring di sisi katil. Berbelas-belas halaman terkandung isi hatinya. Jurnal tadi dibiarkan di atas katil.
***

Terbit mentari penanda mula hari. Bumi diterangi tetapi dunia Suri masih kelam. Suri lewat bangun. Matanya digosok beberapa kali. Dia mencampakkan bantal tidurnya ke atas katil. Jurnal dan pisaunya tertindih. Dia mencapai pakaian seragam sekolah yang tidak bergosok lalu menuju ke bilik mandi. Dia bergegas menyiapkan diri untuk ke sekolah. Ketika dia melewati kamar tidur ibunya, dia terlihat sekujur tubuh separuh telanjang di atas katil. Bau arak menyinggah deria baunya. Dia menggelengkan kepalanya lalu keluar rumah.

Ibunya terjaga semasa mentari sudah tegak berdiri. Kepalanya berat berketipung. Dia memaksa diri untuk mandi. Air kopi susu panas menjadi  minuman untuk menewaskan rasa longlai. 2 biji pil paracetamol sekaligus ditelannya bersama kopi tadi. Setelah berehat seketika, dia menggerakkan dirinya untuk mengemas rumah yang berselerak. Muntahnya dari semalam dibersihkan dan setiap ruang harus disapu. Bilik terakhir yang harus dikemasnya merupakan bilik anak tunggalnya.

Dia melangkah masuk ke dalam bilik Suri. Kertas-kertas yang bersepahan di lantai dipungutnya. Ketika dia sedang mengemas katil Suri, senaskhah jurnal menarik perhatiannya. Dia membelek setiap halaman lalu membaca. Punggungnya dilabuhkan di atas katil. Dia mula berasakan kehimpitan perasaan anaknya yang ternoda. Tangannya mula menggelatar setelah mendapati sebilah pisau di atas katil yang sama. Kelopak matanya bertakung air mata. Pipinya mula basah. Air mata di pipi tertitis ke muka halaman. Aduhai, nasib anakku! Dia juga mula dirasuk amarah. Pisau itu kini berada di tangannya.

Dua malam telah berlalu. Lelaki itu dihubungi untuk dipelawa jumpa. Kononnya ada hal penting yang perlu dikhabarkan.

“I rasa tempat ini ok. Kita berehat di sini sahaja, tidak perlu keluar eh?”

Kereta itu diberhentikan di sebuah kawasan terpencil di pantai East Coast. Tiada kereta lain atau kelibat manusia di tempat itu. Cahaya bulan melumuri langit.

You tolong periksa bawah tempat duduk you. I rasa i terjatuhkan lipstick I tadi. Lepas tu, mainkan lagu-lagu yang romantik ok?”

Sebaik sahaja lelaki itu membongkokkan dirinya, sebilah pisau dihunuskan ke perutnya. Kemudian pisau itu ditarik keluar. Lelaki itu membelakangkannya. Dia cuba membuka pintu kereta yang dikunci. Gamam membuntukan lelaki itu dari melarikan diri. Dia mula menikam belikat lelaki itu beberapa kali seperti tiada akhirnya. Kali ini, lelaki itu yang meronta tanpa sesiapapun yang mendengar jeritannya.

Lelaki itu menggelepar, meraung kesakitan. Seketika kemudian, dia tidak lagi meronta. Tubuh lelaki itu kini kaku. Tiada bernyawa. Baru puas hatinya.

Enjin kereta mewah itu dibiarkan hidup. Dia cuba mengesat hilang cap jari dari mana-mana tempat yang pernah disentuhinya. Dia mula meraba-raba saku seluar lelaki itu. Telefon bimbit lelaki itu diambilnya lalu dimasukkan ke dalam beg tangannya. Dia memerhatikan keadaan sekeliling sebelum melangkah keluar dari kereta. Ditutup pintu itu perlahan. Dengan menguntumkan senyuman yang lebar, dia beredar dari kawasan itu. Kakinya memijak tanah.  Barang kali dia terlupa bahawa tiada jenayah manusia yang sempurna di dunia ini. Tanpa disedarinya, kesan tapak kasutnya ditinggalkan.
***

Mayat lelaki itu ditemui keesokan pagi. Beberapa helai rambut dan kesan tapak kaki yang boleh dijadikan bahan bukti utama telah dikumpulkan oleh pegawai-pegawai forensik. Pihak polis telah mengarahkan sepasukan khas yang terdiri daripada detektif-detektif dari Jabatan Siasatan Jenayah. Mereka memulakan siasatan dengan segera. Barang-barang peribadi dan keterangan ahli keluarga serta rakan-rakan lelaki itu juga dikumpulkan bersama. Polis telah berhasil mengenal pasti suspek mereka. Mummy  Sheila harus diberkas segera.

Polis telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Mummy  Sheila. Suri diarahkan pihak polis untuk memberi keterangan lanjut. Rumahnya digeledah. Peti surat diumpil. Setiap pekerja kelab malam, tempat ibunya bekerja disoalsiasat. Namun, Mummy  Sheila masih belum ditemui.

Suri kebingungan. Seribu ketidakpastian menyinggah di fikirannya. Dia perlu meluahkan rasa gundah. Dia perlu menulis. Suri mula mencari-cari jurnalnya tetapi tidak dijumpai. Pisaunya juga tiada. Dia berdiri di birai jendela. Dia mula menitipkan rindu akan ibunya pada angin yang menderu.

“Tok! Tok! Tok!”

“Tok! Tok! Tok!”

Pintu rumahnya diketuk. Dirinya tertanya-tanya akan siapakah gerangan yang datang. Dia mengintai dari dalam. Cikgu Dewi tercegat di luar pintu. Suri keberatan untuk membuka pintu itu. Cikgu Dewi mengetuk sekali lagi. Cikgu Dewi memberi salam.

Ada suara yang dikenali Suri ikut memberikan salam. Dari belakang, Diana tampil lalu berdiri di samping Cikgu Dewi.

Salam mereka tidak dijawab.
****


Tulisan Lain
Mak, Kutuk Aku Jadi Orang Kaya
Bambang Saswanda


Maling dan Ustadz
Imron Supriyadi


ceritanet©listonpsiregar2000