ceritanet                              situs karya tulis,  po box 49 jkppj 10210 
edisi 134
sabtu 140407

cerpen Salam Sastra Buat Pujangga
Elmi Zulkarnain

“I feel stupid whenever I speak Malay.”

Akhbar itu menukil pernyataan seorang artis muda dari seberang yang bintang selebritinya sepatutnya bersinar. Aku menggerakkan kakiku merentas kulit bumi dari sekolahku yang terletak di kawasan Tanjong Katong menuju pulang ke Marine Drive. Aku seperti dirasuk dengan luahan si artis muda manja itu. Amnesia juga tidak dapat meluputkan ingatanku tentang kata-katanya. Apakah maksud sebenar yang terselindung di sebalik kata-kata yang dilontarkan??? Resah mula menghimpit jiwa. Seribu kemungkinan yang menyinggah deras di fikirku. Mungkin tidak salah sekiranya aku pun berasa begitu. Seribu entah merayap menyelebungi benak.

Patutkah aku berkongsi sentimennya? Aku juga lenguh jenuh setiap kali terpaksa bertutur dalam Bahasa Melayu sedangkan ibu bapaku juga tidak dapat bertutur dalam Bahasa Melayu sepenuhnya. Ada sahaja terselit kata-kata bahasa asing. Jauh sekali mahu menggunakan sebutan yang baku. Melayu kita, Melayu Johor-Riau. Mengapa ada perlu untuk disebut baku. Tidak ‘natural’ langsung. Betul ke??? Jauh lebih mulia sekiranya aku berbual-bual dengan pembantu Indon jiranku yang sedang dia menjemur pakaian di luar rumah. Amat merdu suara Bibik Irna menyanyikan lagu asli untuk dinikmati halwa telinga setiap pagi Ahad.

Aku bercadang untuk bertemu rakan-rakan sekolah di luar sebuah kafe siber di Kompleks Tanjong Katong. Eksperimentasi pertama. Apakah reaksi rakan-rakan apabila aku cuba menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam perbualan kami? Lima minit berlalu. Perbualan rancak mengenai permainan komputer terkini tergendala sebentar. “Don’t be sok Melayu lah kau ni. Sounds so the very warta berita.” Berdesing telingaku mendengar celahan Johan atau lebih dikenali sebagai Bro J. Aku hanya tersenyum dan melirikkan mata ke kiri dan kanan lalu mengarahkan kakiku pulang ke rumah tanpa menjawab sepatah apa.

Aku mengetuk pintu. Sudah kedengaran suara-suara yang seakan pernah aku dengar. Tetapi di mana ya? Sahutan salam aku dijawab tetapi tiada siapa yang membuka pintu. Membara juga dibuatnya. Aku mengeluarkan kunci lalu membuka pintu. Rupa-rupanya ibu dan ayah sibuk melayan tetamu sehinggakan terlupa untuk membuka pintu selepas menjawab salam. Grrr! Aku bersalaman lalu dijemput duduk bersama. Pak cikku atau mesra dikenali sebagai ‘Uncle’ mengajukan satu soalan buat diriku. Aku terpaksa meletakkan antologi puisi Usman Awang di atas meja.

“Kau mau buat apa selepas sekolah menengah?”

“Mungkin ke politeknik ataupun ke maktab rendah. Yang pasti ke menara gading juga akhirnya Uncle,” aku menjawab perlahan bernada malas.

“Anak Uncle senang jer. Lepas jer sekolah, masuk NS. Lepas tu kerja jadi despatch. Tak banyak pening-pening. Mampu bawak motor besar jugak. Kau mau jadi apa lepas belajar tinggi-tinggi? Uncle tak belajar pun boleh hidup Boy.”

Pak cik dan mak cik aku juga sama seperti mereka-mereka di luar sana. Aku dipersenda setelah aku menyatakan hasratku untuk menjadi seorang pujangga satu hari nanti. “Lawyer ke? Majistret ke? Ahli muzik pun ok jugak. Ini pujangga? Kau mahu makan apa? Sastera mengenyangkan ke?” berdekah kata-kata mak cikku yang ironisnya merupakan seorang guru Sains dan Matematik. Mana mungkin dia tidak memahami kepentingan pelajaran. Mengapa dia daif tentang maksud sebenar kepujangaan??? Aku rasa aku tidak perlu mendengar nasihat sebegitu biarpun seorang remaja hingusan hijau sepertiku sering diajar di sekolah agar mendengar kata orang dewasa. Sudah terang lagikan bersuluh, mereka kurang pasti apa ertinya ‘pujangga’.

Sederas angin bertiup, berlalu sudah hari itu. Aku dapati diriku di sekolah keesokan paginya. Seperti biasa, aku duduk bersebelahan Diane Rozario dalam kelas bahasa ibunda. Aku berasa senang berdamping dengan mawar merah jinggaku. Selain daripada keayuan wajahnya, aku juga kagum dengan penguasaan Bahasa Melayunya. Malahan dia dapat mengatasi pelajar-pelajar lain di kelasku termasuk diriku. Dia juga seorang sahabat yang sentiasa meluangkan masa untuk mendengar rintihan hati dan mengusir segala gelombang bimbang diriku.

Cikgu Zalinah memulakan kelas dengan mengetengahkan kepentingan media dalam pelajaran. Dia merasakan pelajar-pelajar Melayu kurang memberikan perhatian pada media massa berbahasa Melayu. Dia menggalakkan kami menonton rancangan-rancangan Melayu. Aku terbayang diriku memetik suis televisyen. Duduk bersama ibu yang sibuk membaca majalah ... berita sensasi artis yang mengkhusyukkannya. Majalah hiburan Melayu tempatan yang aku rasakan tidak langsung memberikan perhatian pada nilai dan mutu bahasa itulah yang menjadi pilihan sidang pembaca masa kini. Tren lebih penting mungkin?

Aku mengalihkan pandanganku kepada ayah yang sibuk membaca tabloid berkenaan berita bola sepak Liga Inggeris. Itulah yang menjadi kegilaannya. (Akhbar Bahasa Melayu jarang kutemui di rumah.) Aku dibiarkan keseorangan dalam ‘dunia’ku sendiri. Aku menggelintarkan khayalku sambil cuba memahami drama yang dilakonkan orang-orang kaku berlatarkan kebendaan dan keduniaan. Dialog yang penuh dengan “I” dan “You”. “I love you, I love kayu,” bisik hati kecilku yang sememangnya kecil.

“Saya sering menonton siaran televisyen yang memaparkan wawancara bersama para peserta rancangan realiti. Tidak seorang pun yang saya rasakan dapat menyampaikan sepotong ayat dengan penggunaan bahasa yang baik. Ayat yang disampaikan dalam bahasa Melayu sepenuhnya pula berbunyi seperti diskripkan. Sampai tergagap-gagap. Mujurlah solekan tebal di muka tidak retak mengikut rentak gagap. Bahasa Inggeris tidak ke mana, bahasa Melayu tenggelam sama. Pendapat ikhlas saya, Cikgu Zalinah. Agaknya mereka ‘feel stupid whenever they speak Malay’ ?”

Pelajar yang lain bertepuk gemuruh mendengar ‘pidato’ spontanku. Diane tersenyum manis. Sesungguhnya dialah mawar merah jingga diriku. Aku tersenyum kambing biri-biri.

“Apa yang boleh kita buat? Hanya satu saluran Melayu yang kita ada di Singapura. Apa yang diterbitkan, itulah yang dapat kita tonton. Tetapi tidak perlu risau. Saya dan guru-guru lain akan memaklumkan perkara ini kepada pihak tertentu. Pasti ada pihak yang prihatin tentang perkara ini. Terima kasih. Awak boleh duduk.”

“Entah bila. Entah siapa yang akan dimaklumkan,” aku berbisik penuh skeptikal.

Setelah menikmati nasi ayam sepinggan dan segelas air Milo dinosaur, aku mencapai novel Pramoedya. Aku ditemani senaskhah kamus kekuningan halamannya. (Ayah enggan membelikan yang baru.) Biarkan aku bersendiri. Rakan-rakanku menganggap aku ganjil. Aku rela terasa terasing. Duduk berdua-duan bersama Pak Pram selain disenandungkan sebuah alat mp3 kurasakan lebih menenangkan. Biarlah rakan-rakan sibuk berdansa seperti ketam dengan diiringi lagu-lagu hip-hop Inggeris yang sering berlirikkan kelucahan, aku lebih tersentuh dengan lagu-lagu berlirik indah yang kupadatkan dalam alat mp3ku. Lagu-lagu hasil ciptaan Pak Ngah dan disenikatakan oleh Hairul Anuar Harun, serta lagu berentak zapin Zubir Abdullah. Tidak sedikitpun aku terhirau dengan label ‘kental’ mereka kepadaku.

Aku asyik menarikan pena halusku di kertas separuh ronyok. Terlalu banyak kosa kata indah yang harus kucoretkan. Sukar difahami tetapi cebis-cebis kekata itulah yang merangsangi aku dalam penulisan sajak-sajakku. Aku memaksa diriku untuk memahami konvensi penulisan puisi untuk memastikan setiap karyaku dapat menampakkan nilai-nilai estetika sambil mencerminkan realisme. Semakin dewasa, semakin aku cuba untuk lari dari dunia romantik yang sarat dengan kekata melankolik. Luahan rasa seharusnya diseiringkan bersama nilai intelektual. Aku enggan menjadi penyajak ‘jiwang-jiwang’.

Cikgu Zalinah berjalan di hadapanku. Ramai pelajar yang tertarik kepadanya. Maklumlah, dia muda dan sering berpakaian ketat menggiurkan walaupun bertudung. Aku senyum kepadanya. Bulu keningnya dicukur dan dicelak. Anting-antingnya yang seakan membolehkan seekor anak tikus bergayut jelas kelihatan. Ah, itu semua tidak penting. Aku tetap menghormatinya kerana dia amat prihatin akan kelakonan para pelajarnya. Namun begitu, satu peristiwa telah menyedarkanku bahawa dia juga serba kekurangan. Pernah aku ujarkan pertanyaanku kepadanya tentang penulisan sajak.

“Saya sendiri jarang membaca karya-karya sastera terutama sekali puisi. Entahlah. Mungkin sekiranya saya ada masa nanti, saya akan membuat rujukan dan menjawab soalan-soalan anda berkenaan persajakan,” jawab Cikgu Zalinah.

Aku menjadi bingung. Sekiranya guru yang aku sanjung tidak dapat mengorbankan sedikit masa untuk menghargai sastera bagaimana pula dengan abang-abang motosikal yang selalu aku jumpa di kolong blok. Pengajaran Bahasa Melayu bukan sekadar tentang mempelajari jasadnya sahaja. Mengapa terlalu teknikal? Padaku sastera adalah jiwa sesuatu bahasa. Sampai pada jiwa, minda bergerak sama. Tidak mungkin Cikgu Zalinah tidak tahu. Walau apa pun, aku tetap memaafkannya. Dia juga seperti aku. Insan biasa. Satu alasan yang sememangnya klise.

Lonceng tamat waktu rehat dibunyikan. Aku bangun setelah lama melabuh punggung di bangku kayu. Tidak sabar rasanya hati mahu berjumpa Abang Rafaat pada jam 2 petang nanti. Abang Paat, yang kukenali semasa aku bekerja sambilan untuk pementasan teater di Substation dahulu, berjanji mahu mengajarku cara-cara mendeklamasi sajak. Aku tidak mahu sekadar membaca sajak. Aku mahu menjiwai setiap kuntuman sajak dan kemudiannya mampu menyampaikannya dengan gaya yang dapat mengasyikkan pendengar. Lagipun, sajak dihasilkan untuk didengar, bukan untuk dibaca. Itulah yang difahamkan kepadaku oleh Abang Rafaat.

Aku menunggu Abang Rafaat di kolong bloknya. Dia lewat seperti biasa. Sudah sejam aku menunggunya. Maklumlah, insan seni seperti Abang Rafaat selalunya berseni sampai terlupa masa. Sekurang-kurangnya, itulah alasan yang diberikan. Tatkala menunggu, deruman sebuah motosikal Harley Davidson menarik perhatianku. Aku mendekati pemiliknya lalu memerhatikannya. Aku kenal Bob Harley. Dia berjiran dengan Abang Rafaat. Rambutnya yang panjang diikat rapi, bersongkok haji. Aku tidak pasti umur Bob Harley tetapi dia kelihatan dalam 40-an tahun dan masih bujang. Harley Davidson itu yang menjadi pengarang jantungnya. Aku ternampak senaskhah Berita Harian di tempat duduk motosikalnya.

“Abang Bob, Berita Harian tu buat lap motor ke?” aku bertanya selamba.

“Aku lap motor dengan kain, bukan dengan surat khabar,” Bob Harley menjawab sinis.

“Abang pun baca akhbar ke? Abang ada baca tentang artis seberang tambak? Yang menyatakan yang dia feel stupid wehever she speaks Malay?

“Eh, Boy. Gua tak belajar tinggi tau. Tapi gua tahu orang yang cakap orang Melayu kalau cakap Melayu rasa dia bodoh, gua rasa dialah yang bodoh. ‘Sehappening-sehappening’ gua, gua baca Berita Harian, Berita Minggu lu tau tak? Sajak ke, cerpen ke, sampai ke berita luar dalam semua negeri gua ‘langgar’. Walaupun kadang-kadang gua tak faham tapi gua ada faham sikit jugak lu tau? Gua bukan belajar kat sarkas. Lu kalau pandai tulis sajak macam Cip Paat tu, lu tulislah. Lu ‘pass’ kat ‘paper’ Melayu, nanti gua boleh baca.”

Aku terkesan mendengar apa yang dikongsi Abang Bob Harley. Sungguh terkesan. Teringat pula aku akan sajak-sajak yang aku hantarkan kepada pengelola ruangan sastera. Entah ke mana perginya? Aku memohon kepada Ilahi agar karya-karyaku tidak dibakul-sampahkan.

“Amacam Boy? Sorilah gua lambat. Ada hal pulak,” muncul Abang Rafaat bersama alasan yang ditutur lembut.

“Apa halnya bang?”

“Aku dapat offer kerja. Ada orang mau aku jadi judge rancangan tv. Tak taulah mau terima atau tidak. Aku ni laser sikit... Jangan buang masa mari kita naik ke atas dan terus ‘start’.

Setelah tamat sesi bersama Cip Paat, aku menuju ke sebuah restoran makanan segera. Aku diajak Bro J dan taulan lain untuk melepak’ bersama mereka. Sebenarnya diri ini malas mahu berdampingan dengan mereka. Aku hanya duduk diam membatu sambil mendengar dan memerhatikan gelagat Bro J dan Geng. Aku menggelamun mencari ilham. Sajak? Hmm. Itupun menjadi satu isu apabila aku bersama mereka.

Aku tidak faham akan mengapa mereka harus mengggusarkan diri mereka apabila aku termenung seketika tatkala ilham merasuk jiwa. Mereka tidak mahu mengerti mengapa aku harus membawa buku catatan burukku untuk menconteng kekata yang aku anggap untaian mutiara. “Sudahlah brader, apa sajak-sajak ini semua? Kerja orang gila. Buang ‘karen’ ,” kata Bro J sambil menyerlahkan sengihan ‘kambing’nya. Aku sedar aku bukan Shakespeare, jadi aku tidak perlu hiraukan kenyataan itu. Biarlah kau kata aku penyair ‘wannabe’ ataupun penyair hingusan, hatiku sudah terpaut pada penulisan puisi. Aku mampu menulis dalam bahasa Inggeris tetapi, “I definitely don’t feel stupid writing in Malay!” Saat-saat begitulah rinduku pada Diane menggumpal di hati.

Nada dering lagu ‘Angguk-angguk, geleng-geleng’ berkumandang. Aku menerima SMS daripada mawar merah jinggaku.
***

sampul
esei
sajak
laporan
cerpen
novel
memoar
komentar
terbitan
edisi lalu
daftar buku

kirim tulisan

ikut mailing list

tentang ceritanet

esei Rasio Sastra, Mengenang Pramoedya Ananta Toer
M. Arpan Rachman

cerpen Aku dan Hujan
Dyah Nyiur

ceritanet©listonpsiregar2000